Thursday, September 9, 2010

Review Tersasar diJalan Mu


Karya : Erma Fatima

Tersasar di jalan Mu merupakan sebuah karya Erma Fatima yang aku kira agak bermutu untuk tatapan umum. Walaupun “ending” cerita ini tidaklah sehebat mana, tetapi jalan ceritanya agak bagus dan penuh dengan moral. Sedar atau tidak aku sebenarnya dikira bertuah kerana mempunyai keluarga yang sempurna. Mempunyai ibu dan ayah yang baik. Rezeki yang halal. Pendidikan yang diberikan juga adalah cukup. Apabila aku menonton cerita ini, baru aku sedar alangkah bertuah aku dilahirkan seperti ini. Alhamdulillah. Syukur kepada tuhan yang mentakdirkan aku di jalan ini. Aku gusar melihat realiti masyarakat kini. Agak menggerunkan apa yang terpapar. Tetapi gerun atau tidak itulah realiti sebuah kehidupan yang terlakar oleh pentas dunia. Sedih dan kecewa apabila melihat masyarakat kini lebih banyak terpedaya dengan tipuan dunia. 

Sinopsis Tersasar di jalanMu

Sebuah kehidupan di lorong yang didiami oleh pelbagai ragam manusia. Penuh dengan manusia yang melakukan maksiat. Seorang anak kecil membesar di lorong yang penuh dengan dosa dan noda. Watak anak kecil yang dikenali sebagai Ayu merupakan watak pemerhati terhadap fenomena di sekelilingnya. Ayu seorang budak yang pintar dan berhasrat untuk menjadi menteri kerana factor tempat tinggalnya begitu parah. Ibu dan bapanya bekerja sebagai peniaga kedai makan di lorong berkenaan. Kedai mereka dikunjungi oleh pelanggan yang berkerja di sekitar lorong itu, kebanyakannya penagih dadah dan pelacur yang terdiri daripada maknyah. 

Di samping berniaga warung makanan, ibunya menyewakan bilik untuk tujuan pelacuran bagi menambah duit poket. Setiap masa ada saja pelanggan yang memerlukan bilik untuk tujuan berzina. Manakala ayahnya pula, sangat gemar berjudi. Tiap-tiap masa menikam nombor. Kadang-kala menggatal juga dengan perempuan lain. Abang Ayu pula merupakan seorang pengedar dadah. Suka saja terperap dibilik. Ibu bapanya tidak tahu apakah pekerjaan anaknya itu.
Manakala, kakak Ayu merupakan seorang pelajar sekolah menengah dan sering memonteng kelas. Kakaknya diberhentikan sekolah kerana kesalahan disiplin sekolah iaitu merokok. Dia cuba menyembunyikan hal berkenaan daripada ibu bapanya. Pulang sekolah saja dia dan dua rakannya akan menyalin pakaian di tandas dan melepak di “shopping complex”. Apabila mahu pulang, dia akan menyalin semula pakaian uniformnya. Apabila diberhentikan sekolah, kerjanya hanyalah melepak bersama dua lagi temannya hinggalah mereka bertiga berkenalan dengan beberapa orang mamat. Baru saja berkenalan, mereka terus keluar bersama dan mereka bertiga dirogol oleh lelaki tidak guna itu. Mereka disuntik dengan dadah dan dirogol serta dirakam oleh salah seorang lelaki berkenaan. Hidupnya semakin hancur apabila dia mulai gian untuk mengambil dadah kesan daripada dikenakan oleh lelaki-lelaki berkenaan. 

Di sebalik lorong itu juga, ada seorang lelaki yang suka memukul isterinya dan menjadikan isterinya sebagai pelacur. Setiap masa memukul dan memaksa isterinya melacur bagi mendapatkan wang. Isterinya yang berasal dari kampung sering didera secara keras oleh suaminya. Tidak tahu ke mana lagi mahu melarikan diri. Dulu, ketika di kampung, dia sanggup melarikan diri bersama suaminya atas alasan cinta dan menyintai. Rupanya cintanya berubah menjadi mimpi ngeri apabila suami sebenarnya manusia bertopengkan iblis yang tergamak melacurkan isterinya.
Di sudut lain pula, terdapat banyak maknyah yang mencari pelanggan untuk hidup. Mereka seperti sedar bahawa mereka dilaknat tuhan tetapi mereka tidak mampu melawan nafsu untuk menurut naluri songsangnya.
Ayu juga mempunyai seorang teman yang bernama Iman. Tiap-tiap malam Ayu akan mengajar Iman membaca. Iman bekerja sebagai buruh kecil. Ibunya merupakan seorang pelacur walaupun sudah tua. Mereka berdua membesar di tempat yang penuh noda dan dosa. 

Kakak Ayu yang semakin ketagihan dadah mencari lelaki yang merogol dan menyuntik dadah kepadanya untuk mendapatkan stok dadah. Dia tiada wang untuk mendapatkan dadah itu. Lelaki itu akan memberikan dadah tetapi sebagai pertukarannya, dia perlu “melayan” nafsu serakah lelaki itu. Kakak Ayu yang gian dengan dadah sanggup menyerahkan diri beberapa kali bagi mendapatkan dadah.

Suatu hari, kakak Ayu melihat abangnya mempunyai stok dadah. Semasa ketiadaan abangnya, dia mencuri dadah itu. Ibunya sering tidak menyedari kakak Ayu keluar dari rumah senyap-senyap. Apabila stok mencukupi, dia menagih hinggalah tidak sedarkan diri. Dua rakannya membawanya ke rumah ibu bapanya tetapi rupanya dia telah meninggal. Abangnya seolah-olah kesal dengan apa yang berlaku. Dadah yang merosakkan orang lain telah membunuh adik kandungnya sendiri.


 Pengajaran buatku dan kalian juga....

Jalan cerita ini menunjukkan inilah realiti sebuah kehidupan. Aku gerun melihat masyarakat kini. Takut dan gusar. Gejala sosial makin menjadi-jadi. Bagaimana pula dengan manusia yang lahir di tempat seperti itu??
Aku harap aku mampu menjadi ibu yang baik buat anak-anakku. Memberi pendidikan agama yang secukupnya kepada mereka. Generasi akan datang lebih hebat cabarannya. Agama islam merupakan tunjang utama menjadikan mereka manusia yang hampir sempurna. Halal dan Haram sesuatu rezeki akan membentuk akhlak seseorang itu. 

Aku juga berharap semoga tidak silap memilih pasangan hidup. Aku tidak ingin menderita disebabkan kebodohan diri dan kebutaan mata disebabkan oleh cinta hingga mengabaikan keluarga. Sungguh hebat balasan Allah sekiranya kita membelakangkan keluarga demi mengejar sesuatu yang belum pasti baik dan buruk. Aku tahu cinta itu berbisa hingga bisanya itu berjaya memadamkan kasih sayang seorang ibu selama berpuluh tahunnya berbanding cinta yang beberapa bulan itu.

Aku tidak ingin menjadikan rezeki yang haram itu sebagai alasan takdir tuhan. Hal ini kerana Allah memberikan kita jalan. Mungkin jalan yang baik itu agak sukar tetapi biarlah sesukar mana pun, biarlah jalan itu diredhai Allah. Mereka berkata“Hanya melacur sahaja yang mampu menanggung hidup??”. Itu bukan jawapan yang baik. Itu hanyalah alasan. Pilihan di tangan kita. Aku tidak ingin mencuba untuk sesuatu yang buruk. DADAH, PIL, PERGAULAN BEBAS dan lain-lain. Aku tidak ingin mendekati semua itu. Selangkah ke hadapan, jangan harap mudah untuk berpatah balik. Sudah tahu sukar untuk berpatah, janganlah cuba untuk melangkah atau menyesal seumur hidup. Selangkah untuk membuat perkara tidak baik, akan ada beberibu langkah di hadapannya. Semoga aku bijak memilih teman. Siapa kita pada masa hadapan juga bergantung kepada siapa sahabat kita pada masa kini.
Bicara Hati : Itu hanyalah secebis lakaran hidup. Belum lagi masuk kes-kes sosial lain. Gejala sosial seperti kes pembuangan bayi, berzina, dan sebagainya. Bagaimana negara mahu maju sedangkan akidah semakin menjunam. Maruah agama seperti tiada nilai. Kesal dengan apa yang berlaku. Namun, masyarakat kini lebih banyak menghukum daripada membantu. Untuk menjatuhkan sesebuah negara cukup dengan meruntuhkan akhlaknya. Mudah untuk berjalan ke jalan yang berliku tetapi sukar untuk kembali ke jalan yang lurus. Semoga kita sentiasa mendoakan agar diri kita tidak menjadi salah satu insan yang tersasar dan sentiasa membantu mereka yang tersasar kembali ke jalan yang sebenarnya.

Wednesday, September 1, 2010

Program Hari Interaksi CARE 2010



PENGENALAN
Campus Environmentalist (CARE) merupakan persatuan di bawah kelolaan Sahabat Alam Malaysia (SAM). CARE di Universiti Sains Malaysia (USM) dan di Institut Perguruan Tengku Bainun (IPTB) telah mengorak langkah pada tahun ke-3 penubuhannya. pelbagai program telah dijalankan oleh CARE seperti pameran, penanaman pokok bakau, perkhemahan dan sebagainya. Program- program ini merupakan inisiatif CARE dalam memelihara dan memulihara alam sekitar.
Sehubungan dengan itu, CARE sekali lagi, ingin mengadakan program Hari Interaksi CARE ‘Pendakian Menakluk Jerai’. Program ini diadakan untuk memberi semangat kepada ahli-ahli CARE untuk menjaga alam sekitar dan juga mengeratkan hubungan antara ahli CARE IPTB dan CARE USM.

OBJEKTIF
1. Memberi kesedaran kepada ahli CARE terutamanya yang baru tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
2. Mengeratkan hubugan antara CARE IPTB dan CARE USM.
3. Mendedahkan peserta dengan gerak kerja yang dilakukan oleh CARE.
4. Mewujudkan sifat kerjasama antara ahli-ahli CARE dalam melaksanakan sesuatu aktiviti.

TARIKH
25 & 26 September 2010 (Sabtu dan Ahad)

TEMPAT
Gunung Jerai, Yan, kedah.

ANJURAN
Sahabat Alam Malaysia

BAJET
Bil. Item Kadar (RM) Kuantiti Jumlah (RM)
1. Makanan 10
30 orang x 2 hari
600.00

2. Pengangkutan (bas)
300
X2 600.00
3. Penginapan 50 6 tapak 300.00
4. Lain-lain 400.00
5. Banner
100 1 100.00
JUMLAH 2000.00

PENUTUP
Diharapkan program ini dapat memberi impak yang baik kepada para peserta dan seterusnya mereka mampu melakukan gerak kerja dengan lebih bersemangat dan sistematik.

LAMPIRAN
Tentatif
Masa Aktiviti PIC Bahan
Sabtu (25/9/2010)
7.00 pagi Bertolak Senarai nama
9.00 pagi Sampai + sarapan + taklimat Makanan
9.30 pagi Pendakian Mineral water + first aid
12.00 Tgh hari Sampai + dirikan khemah + makan + solat Khemah +makanan
3.00 petang Sesi berkenalan
3.30 petang Imbauan CARE
4.15 petang Minum petang + solat asar
5.30 petang Riadah
6.45 petang Persiapan diri + makan malam +solat maghrib + solat isyak
9.00 malam Planning CARE Kertas mahjung + A4+ maker pen
11.00 malam Tidur
6.00 pagi Solat subuh
7.00 pagi Persiapan diri + sarapan + bersihkan khemah
9.00 pagi Penutup + turun
1.00 petang Makan + bersurai Makanan